Laman

Rabu, 05 Juli 2017

KESAKSIAN PERJALANAN KE NERAKA BERSAMA TUHAN YESUS


NERAKA/LAUTAN API ITU NYATA

Saya Encik Tan Hock Khim, di sini serta ingin berkongsi tentang penglihatan Tuhan Yesus dan perjalanan ke Neraka bersama dengan Nya yang dialami/ diperolehi oleh diri saya sendiri di rumah pada 18 September 2014 bersamaan hari Khamis.

  Pada hari tersebut iaitu kira-kira pada jam 10.30 malam sewaktu saya duduk di sofa membaca Alkitab di ruang tamu, saya mendapat penglihatan tersebut. Setelah saya membaca Alkitab tersebut selama 1.5 jam dan merasakan sedikit letih lalu berehat dengan memejamkan mata di atas sofa di ruang tamu.

  Sejurus saya membuka mata, saya melihat kesemua dinding rumah saya berwarna keemasan dan berkilauan/bersinar seperti permata atau kristal. Saya mengetahui bahawa itu adalah petunjuk/tanda kedatangan Tuhan Yesus yang selalu saya alami sebelum ini. Jangkamasa penglihatan tersebut lebih kurang 5-10 saat lamanya.

  Saya yang masih dalam keadaan sedar tetapi dengan mata yang terpejam, tiba-tiba saya mendapat suatu penglihatan iaitu seperti bebola api yang berbentuk bujur telur muncul dan terbang pantas/laju secara melengkung ke arah atas sebelah kanan dengan berlatar belakangkan tempat yang gelap pekat seperti di angkasa lepas.

  Bebola api tersebut muncul sebanyak 3 kali dalam bentuk dan saiz yang berbeza. Bebola api yang pertama (1) lebih kecil saiznya dari yang kedua (2) tetapi Ianya juga terbang ke arah tempat yang sama seperti yang pertama. Manakala bebola api yang ketiga (3) pula jauh lebih besar dan jelas berbentuk orang berjubah panjang yang berwarna putih cahaya dan dikelilingi sinaran api berwarna kekuningan membara berkilauan di keseluruhan tubuhNya. Dia berjalan ke arah saya dan kemudiannya terbang ke arah atas dengan laju/pantas seperti kilat.

  Selepas itu, hanya tinggal pandangan yang gelap-gelita yang kemudiannya secara perlahan-lahan berubah menjadi suatu pemandangan tempat yang sungguh menakutkan/mengerikan yķaitu berubah menjadi seperti tempat yang penuh dengan darah merah kehitaman. Sejurus selepas itu, keadaan berubah menjadi tempat yang gelap-gelita semula. Kemudian tiba-tiba tempat yang gelap pekat tersebut ada terdapat sedikit cahaya putih kelabu dan pada ketika itu juga saya ternampak satu lembaga hitam yang tinggi dimana mukanya tidak kelihatan dengan kepalanya yang ditudung kain hitam muncul di situ.

  Sepantas kilat hati dan fikiran saya yang dikuasai Roh Kudus mengatakan bahawa, "Itu adalah Iblis yang jahat ", saya terkejut dan terus membuka mata saya untuk mengeluarkan pandangan tersebut dari berterusan. Saya mula berfikir bahawa Tuhan Yesus memberi penglihatan ini untuk menyatakan bahawa Iblis @Si Jahat adalah penyebab ramai orang yang tercampak ke dalam Neraka yang menyala berwarna merah kehitaman tersebut dan Si Jahat (Iblis) pun akan dicampakkan ke dalam lautan api untuk selama-lamanya..Amin!

  Seketika selepas itu, saya mula memejamkan mata semula dan saya mendapat penglihatan cahaya putih bersih bersinar di seluruh bahagian kepala saya. Saya dapat merasakan kehadiran Tuhan Yesus di dalam diri saya yang sangat luarbiasa bertenaga, kuat dan pada masa itu saya amat yakin bahawa Dia akan melakukan sesuatu bersama saya.

  Kemudian saya pun membuka mata Dan dikuasai Roh Kudus yang sangat luarbiasa kekuatannya lalu secara langsung saya mengangkat kedua-dua belah tangan dan berdoa demikian, "Ya Tuhan Yesus, aku tahu Tuhan hendak membawaku ke tempat itu(Neraka), baiklah Tuhan Yesus, bawalah aku bersamaMu sekarang...Amin!

  Saya pun menurunkan kedua-dua belah tangan setelah berdoa dengan mata yang masih dipejamkan. Sinaran cahaya putih terang (Tuhan Yesus) terus bergerak membawaku ke sebuah tempat seperti di puncak Gunung Berapi hidup yang sangat besar. Di kawasan tersebut dipenuhi dengan asap putih dan hitam tebal yang berkepul-kecil keluar dari lurah di bahagian atas puncak gunung berapi.

  Seketika selepas itu, saya sudah berada di lurah/lubang di puncak gunung berapi tersebut. Tuhan Yesus pun membawaku bersama denganNya masuk ke dalam terowong tersebut yang diliputi asap putih dan hitam yang tebal. Kami terus masuk ke dalam terowong/lubang tersebut dengan kelajuan yang tersangat tinggi (seperti zoom kamera) yang tidak dapat dibayangkan dengan kadar kelajuan kenderaan/pengangkutan di dunia ini.

  Pergerakan pantas kali pertama (Zoom 1) masuk masih tidak membawa kepada sebarang perubahan pandangan iaitu kekal pada pandangan dengan lurah yang dipenuhi asap putih/hitam berkepul-kepul yang tebal.

Manakala pergerakan pantas kali kedua (Zoom 2) sudah mulai agak berlainan pandangannya dimana asap sudah berkurangan dan saya ternampak sedikit bahang api berwarna merah kehitaman.

  Pergerakan pantas kali ketiga (Zoom 3) telah menampakkan keadaan sebenar dengan jelas sekali lubang/terowong tanah gunung berapi (Neraka) yang saiz diameter (ukur lilit) hanya boleh memuatkan atau menempatkan seramai 3 orang sahaja yang berdiri dengan rapat dimana bahagian tanah di tepi lubang tersebut semuanya berwarna merah kehitaman melebihi besi yang dibakar oleh tukang besi sehingga kesemuanya berwarna kemerahan bersinar menyala.

  Pergerakan pantas kali keempat (Zoom 4) masih belum lagi melepasi terowong tanah yang merah menyala malahan lubang tersebut menjadi semakin sempit sehingga saya tidak dapat mengggerakkan badan, tangan dan kaki sebab ianya akan tersentuh bahagian tanah di tepi lubang yang sungguh panas berwarna kemerahan menyala seperti lava gunung berapi yang mendidih.

  Pergerakan pantas kali kelima (Zoom 5) telah menamatkan atau mengakhiri perjalanan ke tempat yang terakhir iaitu lautan api di dasar Neraka. Ketika itu saya berada di pinggir/tepi lautan api yang tersangat luas yang dipenuhi dengan lava gunung berapi yang menyala dan mendidih berwarna merah kehitaman.

  Keadaan di situ sungguh menakutkan, mengerikan,mengerikan dan menjijikkan dimana lava yang panas mendidih serta pekat menyala berwarna merah kehitaman memenuhi lautan/tasik tersebut. Tempat (Lautan Api) tersebut dipenuhi roh-roh manusia yang bergerak seperti ulat yang memanjat antara satu sama yang lain, semuanya terbakar dijilat api, tidak berambut, hanya tinggal tulang dan tengkorak sahaja.

  Mereka (Roh) dibakar, dijilat api yang menyala dan diliputi lava yang mendidih, ada yang menjerit- jerit sambil menghulurkan tangan mereka untuk meminta pertolongan, menangis kepanasan/kesakitan, mereka juga hendak beredar/lari dari situ tetapi tidak berjaya sebab lidah api dan lava terus mengejar dan menjilat mereka dari segala arah dimana ada yang ditenggelamkan ke dalam lava mendidih berwarna kemerahan yang pekat.

  Suatu pemandangan, penglihatan dan pengalaman yang teramat dahsyat sekali dalam hidup saya dan ianya tidak akan dapat dilupakan sepanjang hayat saya. Selama 1 minggu lamanya saya merasakan tubuh badan saya kepanasan seperti demam panas yang teruk dan tidak dapat tidur lena mengenangkan betapa luarbiasa teruk dan ngeri keadaan di neraka@lautan api.

  Sesungguhnya, percayalah semua yang membaca kesaksian saya ini bahawa Neraka adalah suatu tempat siksaan yang paling dahsyat dan ianya adalah realiti! Hanya Yesus sahaja yang dapat menyelamatkan kita dari api Neraka yang ganas. Amin!

YESUS ADALAH JALAN MENUJU KE SYURGA

YESUS KRISTUS ADALAH JURUSELAMAT DAN TUHAN! PERCAYALAH SEMUA!!!

Sumber : fb John Tan



Tidak ada komentar:

Posting Komentar